Makluman Terkini!

konvo3
Ahad, Oktober 05, 2008

Kalam Presiden

UCAPAN PRESIDEN PMRAM
FESTIVAL KONVOKESYEN DAN ANUGERAH MAHASISWA CEMERLANG KALI KE-16


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan Rabbul Izzati, Tuhan sekalian alam yang telah memberikan ruang dan peluang untuk saya dan kita bernafas menghirup udara Ilahi sehingga ke hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W penghulu sekalian nabi yang diutuskan oleh Allah Taala sebagai hamba yang paling agung di atas muka bumi Tuhan ini. Juga kepada para sahabat-sahabat Baginda, tabi' tabiin dan para ulama yang melalui jalan ini.

Terima kasih kepada pihak urusetia yang memberikan peluang untuk saya menyampaikan sepatah dua kata di dalam buku cenderamata ini.

Saudara dan saudari seperjuangan sekalian,

Universiti Al-Azhar yang telah melahirkan beribu-ribu malah berjuta-juta graduan Islam berperanan besar membentuk acuan pendidikan Al-Azhar yang selari dengan metod dan dakwah Islam pada hari ini. Malah, pandangan tokoh-tokoh ilmuan dan para ulama Mesir tidak pernah ketinggalan menjuarai setiap perdebatan dan permasalahan yang berlaku di dalam dunia Islam.

Mahasiswa yang lahir daripada bumi Al-Azhar bukanlah golongan-golongan yang murah di sisi pandangan umat Islam seantero dunia. Bahkan, apabila kita mengungkapkan nama Al-Azhar semestinya ‘tabik’ pengharapan diutuskan kepada graduan dan pemegang sijil Al-Azhar ini.

Justeru, peranan kalian selaku lepasan Al-Azhar tidak seharusnya dianggap remeh kerana kita punya tanggungjawab yang paling besar ketika pulang ke negara kelak. Kita seharusnya menjadi pemegang obor pejuang Islam mempertahankan hak Islam di negara kita dan menjadi contoh tauladan serta role model kepada generasi pemuda dan pemudi Islam pada hari ini.

Oleh yang demikian, PMRAM senantiasa mendoakan kalian akan beroleh kecemerlangan di sini sebagai seorang mahasiswa dan berjaya menempuh alam industri pekerjaan yang lebih mencabar pada hari ini. Persiapkan kelengkapan dengan sebaiknya agar kita menjadi mahasiswa Islam yang terus dibanggakan oleh masyarakat seluruhnya.

Terima kasih kepada semua yang mengikuti perkembangan Festival Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang kali ke-16 ini sama ada secara langsung atau tidak. Hanya Allah akan membalas jasa kalian.


“JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH”

Salam tinta kejayaan,

KHAIRUL ANUAR BIN ISMAIL
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2008

0 comments: